Tentang Israq dan Mikhraj dan alam di dalam besen.
Allahuakbar! Malam ini sudah masuk 27 Rejab, malam Israq dan Mikhraj. Maka saya ingin berkongsi cerita berkaitan yang tertera pada bab terakhir buku ketiga saya "Berpetualang ke Aceh : Sirih pulang ke gagang?" yang terbit November 2007.
Bab itu bertajuk "Penutup : Puas sudah berpetualang?". Dari segi mood bercerita dua tiga hari ini ia boleh dikatakan bersambung daripada artikel Aku cuma zilal Mu ya Allah! yang dibuat siang tadi.
Tajuk artikel ini mungkin pelik sedikit. Namun saya percaya anda akan nampak sebabnya setelah membaca tulisan di bawah sampai habis.
Adapun apa yang dipaparkan ini adalah keseluruhan isi bab tersebut termasuk perkongsian rasa yang terbit akibat melihat keadaan dunia ketika itu. Walaupun ia ditulis 5 tahun lalu rasanya keadaan tersebut masih relevan dengan dunia hari ini.
Kebetulan ini adalah artikel ke 999 di blogspot ini. Dengan kombinasi nombor berserta fakta bahawa bab itu bertajuk "Penutup : Puas sudah berpetualang?", dipaparkan pula pada malam Israq dan Mikhraj semoga ini dapat menutup satu fasa hidup lalu masuk ke fasa baru yang lebih bermakna dan diredhai Ilahi.
Tersebutlah kisah, suatu masa dahulu di sebuah negeri di Timur
Tengah, ada seorang raja kafir sudah tergerak mahu memeluk Islam kerana tertarik dengan ajaran-ajaran Rasulullah SAW. Baginda telah melihat akhlak baik para penganutnya dan telah bertanyakan para alim ulamak tentang hukum-hakam Islam dan segala maslahat berkaitan.
Lalu sang raja berpendapat agama ini memang sesuai dengan fitrah manusia malah amat baik untuk perkembangan rohani dan jasmani setiap insan.
Baginda cuma ada satu kemusykilan yang perlu dijawab sebelum bersedia mengucap dua kalimah syahadah... Bagaimanakah Rasulullah SAW dapat naik Israq dan Mikhraj, pergi dari Mekah ke Baitul Muqaddis kemudian naik tujuh petala langit, dapat melihat segala isi syurga dan neraka,
naik lebih tinggi ke Sidratul Muntaha kemudian melepasi Kursi dan Arash untuk sampai ke Hadirat Allah Subhanahuwata’ala sebelum kembali ke Mekah sedangkan semuanya berlaku dalam tempoh singkat yang diibaratkan daun yang bergetar dilanggar orang apabila Nabi memulakan perjalanan belum habis bergetar apabila baginda kembali ke rumah.
Masalahnya, tiada alim-ulamak dapat memberikan jawaban yang memuaskan raja. Seperti diketahui umum, perjalanan Mekah ke BaitulMuqaddis sendiri memakan masa berhari-hari, mungkin berbulan-bulan, baik menunggang kuda mahupun unta.
Inikan lagi naik ke langit malah lebih atas untuk melihat segala isi kejadian Allah SWT dan kembali dalam masa beberapa detik sahaja! Di zaman moden inipun menaiki jet atau kapal terbang, perjalanan Mekah ke Baitul Muqaddis memakan masa tidak kurang dua jam. Untuk naik ke langit pula, belum ada manusia yang mampu membuatnya.
Alangkan menaiki roket sampai ke bulan pun memakan masa beberapa hari, bagaimana pula hendak ke langit? Lalu bagaimana Nabi boleh melakukan semua ini malah pergi lebih jauh dalam masa begitu singkat?
Persoalan inilah yang sedang bermain-main di kepala raja kafir tersebut. Memang baginda mahu percaya kepada Islam tetapi raja ini telah berikrar hanya akan mengucap dua kalimah syahadah jika ada orang yang dapat menerangkan peristiwa ini sehingga baginda puas dan yakin seratus peratus dengan kebenaran yang dibawa Islam.
Soalnya, siapa pula yang dapat menghuraikan dengan jelas? Bolehkah perkara luarbiasa sebegini diterangkan dengan kaedah yang dapat memuaskan pemahaman biasa?
Maka tersebarlah berita tentang raja sebuah negeri ingin memeluk Islam tetapi belum bersedia kerana tiada orang dapat menerangkan peristiwa Israq dan Mikhraj sehingga hilang kemusykilan baginda. Berita ini sampai kepada seorang wali Allah penuh karamah lalu beliau tergerak berjumpa dengan raja.
Kedatangannya disambut dengan mulia... Walaupun baginda bukan Islam, raja ini adalah seorang yang beradab dan amat menghormati para alim ulamak . Sang wali pun dijemput masuk menghadap.
Setelah berkenal-kenalan dan bertanyakan khabar sepertilazimnya orang baru bertemu, mereka duduk bersemuka di sebuah ruang persendirian. Tiada manusia lain di situ kecuali seorang khadam yang siap-siaga untuk memenuhi apa-apa permintaan baginda.
Wali itupun bertanya: “Hamba dengar Tuanku amat berminat untuk memeluk agama Islam tetapi ada yang menghalang. Apakah masalahnya? Mungkin hamba boleh menolong?”
Sang raja pun menjawab: “Memang benar berita yang kamu dengar itu. Beta sudah lama mahu memeluk Islam kerana pernah bertanya kepada ramai alim-ulamak tentang agama ini. Memang beta dapati Islam itu elok.
Cuma beta belum berpuas hati tentang kebenaran peristiwa Israq dan Mikhraj. Bagaimanakah Nabi Muhammad boleh melakukan perjalanan malam tersebut sedangkan ada yang mengatakan semuanya berlaku dalam tempoh yang amat singkat?
Sehingga dikatakan daun yang bergetar dilanggar orang belum pun habis bergetar apabila perjalanan itu tamat. Beta sudah bertanya alim ulamak negeri ini. Setakat ini belum ada orang yang dapat memberikan jawaban atau keterangan yang boleh memuaskan hati beta.”
Wali itu tersenyum mendengar pengakuan raja. Beliau pun bertanya: “Bagaimana jika ada orang yang dapat menerangkan masalah ini, adakah Tuanku akan mengucap dua kalimah syahadat dan masuk Islam?”
Baginda menjawab: “Ya, beta akan mengucap kalimah pengakuan itu kalau penerangan yang diberikan dapat memuaskan hati. Beta berjanji akan masuk Islam. Memang itulah yang beta nanti-natikan selama ini.”
“Kalau begitu biarlah hamba menerangkannya,” kata wali itu. “Sila Tuanku ambil sebuah besen penuh dengan air.” beliau meminta pula...
Raja itupun menyuruh kadam memenuhi permintaan tersebut. “Sekarang masukkan kepala Tuanku ke dalam besen,” kata sang wali.
Sang raja mula teragak-agak. Kenapa perlu memasukkan kepala ke dalam besen? Sang wali pun memberikan jaminan persoalan Israq dan Mikhraj akan terjawab jika baginda menurut sahaja. Raja itupun mengalah...
Mula-mula tiada apa-apa yang berlaku... Setakat kepala raja tenggelam dalam air, tiada yang pelik tentang itu. Tetapi apabila baginda mengangkat kepala ke atas, ternyata wali itu sudah hilang.
Malah ruang tempat mereka berbual termasuk istana juga sudah tiada! Sekonyong-konyong itu baginda mendapati dirinya berada di dalam sebuah sungai yang deras dipukul arus ganas sehingga terkapai-kapai mencari nafas. Baginda tidak pandai berenang, maka tenggelam-timbullah raja itu dihanyutkan arus deras...
Dicelah-celah tenggelam-timbul itu baginda menjerit-jerit meminta pertolongan dengan harapan ada yang mendengar. Kebetulan seorang pemuda gembala kambing sedang menjaga ternakan tidak jauh dari situ. Dia dapat mendengar jeritan sang raja lalu bergegas ke tebing sungai.
Pemuda itu meneliti permukaan sungai untuk mengenal-pasti punca jeritan yang didengar. Ternampaklah seorang manusia hanyut tenggelam-timbul dipukul arus di tengah-tengah. Tanpa berfikir panjang, sang gembala pun terjun ke dalam sungai. Setelah berhempas-pulas melawan arus ganas, dia berjaya menyelamatkan raja lalu membawanya ke tebing…
Si gembala memapah sang raja yang asyik terbatuk-batuk akibat banyak tertelan air. Dalam keadaan separuh sedar, baginda terus terbaring keletihan sambil mengembalikan nafas. Dalam pada itu, raja ini dapat merasakan ada sesuatu yang berlainan tentang tubuh-badannya... Baginda pun meraba-raba untuk memastikannya. Eh...
Kenapa terdapat bahagian membulat yang lembut-lembut ini? Eh... Mana pergi otot-otot tubuhnya yang sasa? Masyaallah! Memang tubuhnya terasa amat berlainan, bukan lagi tubuh seorang raja atau lelaki yang sasa malah tubuh seorang perempuan! Raja yang masih agak keletihan itu terkejut besar sehingga pengsan.
Sang gembala kambing mengangkat baginda balik ke rumah untuk dirawat. Setelah beberapa hari dijaga, diberi ubat dan disuapkan makanan, barulah kesihatan baginda pulih. Masalahnya tubuh baginda masih lagi tubuh seorang perempuan. Lalu bagaimana raja itu mahu menjawab apabila pemuda itu bertanyakan asal-usulnya?
Bagaimana boleh sampai ke kawasan itu dan dihanyutkan sungai sedangkan baginda pun tak pasti apa yang telah berlaku? Kalau dijawab pun rasanya tidak akan masuk akal biasa... Bagaimana seorang raja boleh hilang daripada istana lalu tiba-tiba hanyut di sungai dan bertubuhkan seorang perempuan? Akhirnya baginda menerima hakikat dirinya bukan lagi seorang raja. Malah sebagai seorang perempuan, baginda akhirnya berkahwin dengan pemuda gembala kambing pula!
Tujuh tahun kemudian, sang raja yang sudah lama melupakanasal-usul sebenarnya tergerak untuk pergi ke sungai tempatnya diselamatkan sang gembala kambing dahulu. Oh... Terlupa hendak memberitahu.
Mereka telah dikurniakan dua orang anak (kalau tak salah ingatan) ataupun tiga? Apapun, yang penting, hidupnya betul-betul telah berubah. Daripada seorang raja perkasa yang menguasai sebuah kerajaan, baginda telah menjadi seorang isteri yang sempat melahirkanbeberapaorangbayi.
Hendak dijadikan cerita, ketika sedang berjalan-jalan di tepian sungai, wanita itu tiba-tiba tergelincir jatuh ke dalam. Sekali lagi dia mendapati dirinya tenggelam-timbul dibawa arus deras. Tahu tidak apakah yang terjadi kemudian? Wanita itu mengeluarkan kepalanya untuk mencuri nafas tetapi apa yang didapati sekelilingnya bukan lagi sebuah sungai yang deras tetapi sebuah ruang mewah, bagaikan dewan di dalam istana raja!
Wanita itu juga mendapati kepalanya baru sahaja dikeluarkan daripada sebuah besen berisi air, bukannya sebuah sungai. Seketika itu juga hamba Allah ini mendapati tubuhnya sudah bertukar daripada tubuh seorang perempuan kepada tubuh seorang laki-laki malah disaluti pula pakaian mewah persis seorang raja. Lalu siapakah dia sebenarnya? Seorang wanita isteri gembala kambing atau seorang raja pemerintah sebuah kerajaan?
Hamba Allah ini tercengang-cengang untuk memahamikejadianini. Di manakah dia sekarang? Di manakah dia sebenarnya berada sebelum itu? Siapakah dirinya ini? Apakah yang telah berlaku? Begitu banyak persoalan timbul sehingga dia termenung lama untuk merungkaikan permasalahan.
Di hadapannya pula duduk seorang manusia berjubah berserban tersenyum lebar melihatnya terpinga-pinga. Ah! Baru dia tersedar... Baru teringat dirinya seorang raja yang sedang berada di dalam istana.
Segala peristiwa yang berlaku daripada dirinya jatuh lemas lalu diselamatkan pemuda gembala kambing, bertukar menjadi seorang perempuan dan berkahwin sehingga melahirkan anak, segala yang dirasakan berlaku dalam tempoh tujuh tahun itu sebenarnya terjadi dalam tempoh beberapa detik sahaja... Semuanya berlaku ketika memasukkan kepala ke dalam besen!
Menyedari sang raja sudah mulai faham, orang berjubah berserban tadi (sebenarnya seorang wali yang ditugaskan memberi penerangan supaya sang raja masuk Islam) itupun menegur: “Sekarang Tuanku faham bagaimana Rasulullah SAW melakukan Israq dan Mikhraj dalam tempoh cuma beberapa detik? Dengan kuasa Allah, tiada perkara yang mustahil!”
Walau sudah faham apa yang berlaku, sang raja masih lagi kehairanan. Susah untuknya menerima kenyataan... Terbetik pula di hati: “Mungkin aku telah dipermainkan... Barangkali akudisihirsehinggaboleh percaya yang aku betul-betul telah menjadi seorang wanita? Boleh pula menghabiskan tujuh tahun hidup susah bersama seorang pengembala kambing?”
Wali Allah yang kasyaf itu tahu apa yang bermain di fikiran raja: “Tuanku masih tak percaya?”beliau bertanya. Ataukalau ikut kata budak-budak sekarang: “Kenapa? Tak percaya ke?” mengajuk iklan televisyen...
Raja itu tidak menjawab. Mungkin hatinya belum puas lagi?
Wali itupun menyambung: “Tak mengapalah. Sebentar lagi akan datang beberapa orang tetamu yang akan menjawab persoalan Tuanku.”
Sang raja semakin bingung. Apakah yang dimaksudkan orang ini? Jika tadi, kepalanya dimasukkan ke dalam besen lalu berlaku keajaiban sehingga dia hilang entah di mana, kemudian boleh terasa seperti berada tujuh tahun di sana malah boleh pula bertukar menjadi seorang perempuan, sekarang ada tetamu boleh menyelesaikan masalahnya... Apakah makna semua ini?
Kebetulan memang ada tetamu baru sampai ke istana untuk berjumpa dengan raja. Seorang pesuruh raja pun menghadap menyampaikan berita. Sang wali mengisyarat raja supaya menerima kedatangan tetamu itu. Sebaik sahaja tetamu masuk, wali itu sendiri bangun lalu menyambutnya...
“Tuanku kenal siapakah ini?” sang wali menunjuk kepada mereka...
Ternyata tetamu yang datang adalah pemuda gembala kambing yang ditemui raja semasa memasukkan kepalanya ke dalam besen! Orang yang menyelamatkan nyawanya ketika dia bertukarmenjadiseorangperempuan yang kelemasan dalam sungai malah sempat menjadi suaminya pula! Turut bersama adalah anak-anak comel hasil perkahwinan mereka.
Sang raja terus bersujud lalu mengakui kebesaran Ilahi. Tanpa perlu diajar lagi, baginda mengucapkan dua kalimat syahadat lalu masuk Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan