cari

28.6.12

Rezeki yang halal

Sumpah Rasulullah ke 3: Mengemis dan Meminta Membuka Pintu Kefakiran


Assalamualaikum semua,

Inilah sumpah Nabi Sallallahualaihi Wassalam yang ketiga: “Mengemis dan Meminta membuka pintu kefakiran”. Bagaimana? Seorang Muslim sangat dituntut mencari rezeki yang halal dengan cara terhormat bagi memenuhi keperluan diri dan keluarga.

Oleh itu, bekerja untuk mendapatkan nafkah secara halal merupakan sesuatu yang sangat mulia di sisi Islam walaupun pekerjaannya amat berat dengan pendapatan yang tidak seberapa.
Adapun mencari harta dengan mengemis, ia merupakan cara yang tidak terhormat meskipun banyak harta yang diperolehi darinya sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahualaihi Wassalam yang bermaksud:

“Seseorang yang membawa kapak lalu pergi mencari dan mengumpulkan kayu bakar, lantas dibawa ke pasar untuk dijual dan wangnya digunakan untuk mencukupi keperluan dan nafkah dirinya adalah lebih baik daripada seseorang yang meminta-minta daripada orang ramai yang kadang-kala diberi dan kadang-kala ditolak.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Oleh itu, Rasulullah Sallallahualaihi Wassalam menetapkan bahawa orang yang kaya itu bukan semata-mata kerana hartanya yang banyak.

Walaupun banyak harta, namun jika dia tidak bersyukur atau tergolong dari kalangan mereka yang bakhil, dia tetap dipandang sebagai orang miskin. Tambahan pula jika harta yang dimiliki itu adalah hasil dari mengemis atau meminjam.
Bekerja atau berusaha dengan tekun, di samping terhormat, seseorang akan memperolehi harta yang banyak dan jiwa yang tenang sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahualaihi Wassalam yang bermaksud:
“Yang dinamakan kaya bukanlah banyak harta benda, tetapi kaya yang sebenarnya adalah kaya jiwa.” (HR. Abu Ya’la)

Di samping itu, sumpah Rasulullah Sallallahualaihi Wassalam ini menjadi benar kerana kebiasaannya, semakin lama seseorang itu bekerja untuk menyara hidupnya, dia akan mampu menutupi keperluannya dengan berbagai usaha yang halal dan terhormat.
Namun apabila mengemis, dia mungkin tidak memperolehi jumlah yang cukup untuk menampung keperluannya, sedangkan pendapatannya tetap sama, maka dia akan semakin bertambah fakir.

Oleh itu, ramai orang yang mengemis tetapi akhirnya menjadi pencuri, kerana mereka tidak dapat menampung kehidupan hasil dari perbuatan mengemis. Bukankah ini membuat dia bertambah miskin secara ekonomi dan bertambah rendah martabatnya sebagai manusia.


Demikianlah tiga sumpah Rasulullah Sallallahualaihi Wassalam sehingga sewajarnya kita memberi perhatian agar kehidupan kita ini dapat kita lalui dengan sebaik-baiknya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan